Wednesday, 17 April 2013

CONTOH KARANGAN SURAT KIRIMAN RASMI

Persatuan Bahasa Melayu sekolah kamu akan mengadakan pertandingan mendeklamasikan puisi peringkat sekolah. Sebagai setiausaha persatuan kamu diminta menulis surat kebenaran untuk menggunakan dewan kepada guru besar. Tulis surat itu selengkapnya. 


RANGKA KARANGAN              
         Pendahuluan - Alamat pengirim dan penerima, tarikh, kata panggilan rasmi, perkara, tujuan, (tulis dengan ringkas dan tepat)
         Isi-isi penting - mohon untuk menggunakan dewan sekolah
                              - Tujuan pertandingan -mencungkil bakat 
                                                                -peserta mewakili daerah 
                                                                -perlu tempat yang sesuai
                             - maklumat pertandingan (tarikh,tempat,masa)
                             - Mohon pertimbangan dan kerjasama amat dihargai.
          Penutup - terima kasih
                       - tandatangan 




Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah kebangsaan Pandan Indah,
55100 Pandan Indah,
Kuala Lumpur.
                                                                                                                                                 
Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Pandan Indah, 
55100 Pandan Indah, 
Kuala Lumpur.                                                                                            10 FEBUARI 2013

Tuan,

Kebenaran Menggunakan Dewan Sekolah

Dengan segala hormatnya, saya merujuk perkara di atas.

2. Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini akan menganjurkan pertandingan Mendeklamasi Puisi 2013 pada bulan hadapan. Sehubungan dengan itu, saya selaku setiausaha persatuan memohon kebenaran pihak tuan untuk menggunakan dewan sekolah ini bagi tujuan tersebut.

3. Tujuan pertandingan ini diadakan adalah untuk mencungkil bakat mendeklamasi puisi dalam kalangan murid-murid sekolah ini serta mencari peserta terbaik bagi mewakili sekolah ke pertandingan mendeklamasi puisi di peringkat daerah.

4. Sambutan daripada murid-murid sangat menggalakkan. Sehingga kini, sebanyak 35 orang peserta telah pun mendaftarkan diri untuk menyertai pertandingan ini. Oleh itu, pihak kami memerlukan arena yang sesuai untuk penganjurkan pertandingan ini.

5. Untuk makluman tuan, pertandingan tersebut akan diadakan seperti berikut.
                        Tarikh  : 20 April 2013
                        Hari     : Sabtu
                        Masa   : 8 pagi - 12 tengahhari

Besarlah harapan kami sekiranya pihak tuan dapat mempertimbangkan permohonan ini. Segala kerjasama daripada pihak tuan dalam menjayakan program ini amatlah dihargai.

Sekian, terima kasih.

Yang benar,
_____________________
(SURAYA BT HAIRUL)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Pandan Indah.

SURAT KIRIMAN RASMI

Surat kiriman rasmi ditulis untuk urusan rasmi seperti surat permohonan, surat bantahan/aduan, dan surat pesanan.

FORMAT SURAT KIRIMAN RASMI

1. Alamat surat pengirim dan jawatan (jika ada), dituis pada bahagian atas sudut kiri surat tersebut.
2. Buatkan garisan melintang selepas alamat pengirim
3. Baris akhir alamat penerima hendaklah digariskan.
4. Tarikh ditulis di sebelah kanan surat. Nama bulan ditulis dengan huruf besar.
5. Panggilan hormat atau gelaran penerima seperti Tuan/Puan ditulis di bawah alamat pengirim 
6. Tulis tajuk surat. Huruf pertama setiap perkataan ditulis dengan huruf besar.
7. Gariskan tajuk tersebut.
8. Mula menulis dari tepi surat tanpa perenggan dan tidak bernombor.
9. Perenggan berikutnya bernombor 2, 3, 4 dan seterusnya.
10. Perenggan penutup dimulakan dari tepi surat tanpa nombor.
11. Tandatangan pengirim ditulis di sudut kiri bahagian bawah surat.
12. Nama pengirim ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan kemudian, diikuti jawatan pengirim. 



NOTA INGATAN

Penggunaan tanda baca  hendaklah diambil perhatian. 
Kamu haruslah megikut format surat kiriman rasmi yang betul.
Maklumat yang penting seperti tarikh, masa, dan tempat hendaklah ditulis.
Susun isi-isi surat itu dengan teratur supaya jelas dibaca.
Nyatakan tujuan tertentu surat itu ditulis denganbahasa yang ringkas dan tepat.
Akhiri surat kamu dengan kata-kata yang sesuai seperti terima kasih, yang benar, yang menjalankan tugas, dan sebagainya. 



Tuesday, 16 April 2013

CIRI-CIRI KARANGAN YANG BAIK


PENYATUAN

1. Karangan yang ditulis perlu ada penyatuan idea
2. Penyatuan fakta, ayat dan perenggan meliputi keseluruhan karangan
3. Elakkan menggunakan perkataan yang kurang sesuai atau berulang-ulang
4. Ayat yang dibentuk perlu berfungsi dalam perenggan dan perenggan pula saling berkaitan dengan keseluruhan karangan.
5. Gunakan penanda wacana serta kata hubung untuk menunjukkan penyatuan antara ayat dan perenggan dengan perenggan.

KETEPATAN

1. Ketepatan karangan dengan tajuk amat penting
2. Fakta-fakta jangan terpesong daripada tajuk
3. Karangan yang baik ialah karangan yang menjawab apa yang ditanya
4. Kenal pasti kehendak dan kata kunci setiap soalan yang dikemukakan.

LENGKAP

1. Perlu ada pendahuluan
2. Perlu ada sekurang-kurangnya 4 isi penting
3. Perlu ada penutup
4. Setiap isi mesti dilengkapi dengan huraian dan contoh yang sesuai

Saturday, 6 April 2013

PANDUAN MENULIS KARANGAN UPSR



Dalam peperiksaan, sebelum membuat sesuatu karangan , kita hendaklah memilih dan memahami tajuk atau kehendak soalan karangan itu. Selepas itu kita fikirkanlah pula tentang :
A. Pengenalan
B. Isi-isi dan
C. Penutup

A. Pengenalan
Setiap karangan mestilah mempunyai perenggan pengenalan. Dalam pengenalan kita hendaklah memperkenalkan sesuatu perkara atau tajuk yang mungkin pembaca tidak tahu atau faham. Kita hendaklah menarik perhatiannya supaya ingin membaca karangan itu.

Pengenalan ini dibuat secara ringkas dan am sahaja, memadai tiga atau empat ayat. Pembukaan karangan yang menarik akan meninggalkan kesan yang positif dan mendalam kepada pemeriksa.


 B. Isi
Isi hendaklah mengikut kehendak soalan. Dalam UPSR, biasanya setiap karangan memerlukan empat isi. Isi yang lebih tidak mengapa tetapi mungkin menyebabkan kekurangan masa. Isi hendaklah disusun dengan teratur dan berkait antara satu dengan lain.

Isi-isi itu dipecahkan dalam perenggan-perenggan. Isi yang utama didahulukan. Murid-murid digalakkan menulis satu isi, satu perenggan. Setiap-tiap perenggan tidak semesti sama panjangnya. Mungkin sesuatu perenggan itu lebih panjang daripada perenggan yang lain. Ini kerana sesuatu isi utama yang ingin ditekankan oleh murid-murid biasanya lebih panjang daripada perenggan yang lain.

Jaga isinya supaya tidak terkeluar daripada tajuk yang dikehendaki. Elakkan menyertakan isi yang bercanggah dengan tajuk. Mengapa pelajar cemerlang mendapat banyak isi ? Ini kerana mereka banyak membaca. Untuk mendapat isi yang baik dan banyak, kita hendaklah banyak membaca surat khabar, majalah-majalah, makalah-makalah, rencana-rencana, buku-buku cerita, mendengar sesuatu, menyaksikan sendiri dan dari pengalaman sendiri.
 
 
Cara terbaik mencari isi adalah dengan menggunakan kaedah membuat peta minda. Kemukakan pertanyaan kepada diri anda dan fikirkan jawapannya. Gunakan kata tanya

  • Apa        ( contoh : Apa program yang dijalankan ?)
  • Siapa      ( contoh, siapa yang merasmikan program itu ?)
  • Bila         ( contoh, bila program itu diadakan ?)
  • Mengapa ( contoh, mengapa program itu diadakan?)
  • Di mana  ( contoh, di mana program itu berlangsung?)
C. Penutup
Penutupnya adalah kesimpulan / rumusan atau akhiran sesuatu karangan. Dalam penutup boleh digambarkan  pendapat kita dengan ringkas tentang sesuatu perbincangan atau tajuk. Boleh masukkan perasaan atau harapan.Contoh, semua peserta berasa gembira dan berpuas hati dengan keadaan sekolah setelah tamatnya aktiviti gotong-royong itu. Kami berharap aktiviti seumpama ini akan dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

Juga boleh dimuatkan nilai-nilai yang sesuai. Contohnya, aku bersyukur kerana kawanku akhirnya selamat. Ibub bapanya mengucapkan terima kasih kepadaku kerana telah membantu anak mereka.Elakkan menamatkan karangan secara mengejut atau tergantung. 
Oleh itu penutup juga adalah penting dalam tiap-tiap karangan.

Monday, 1 April 2013

SELAMAT DATANG

blog Pengajaran Bahasa Melayu. blog ini menyampaikan beberapa tips dan panduan tentang pembelajaran bahasa melayu sekolah rendah (sk).